Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Sebarang langkah untuk discaj semua pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara kerajaan daripada Institut Jantung Negara sebagai langkah penjimatan disifatkan tidak berperikemanusiaan.

Bekas menteri Kabinet Tan Sri Rafidah Aziz berkata, laporan berhubung tindakan itu disifatkan sebagai perkembangan paling mengejutkan daripada Kerajaan Madani.

“Adakah Kerajaan Madani tiba-tiba mengambil pusingan U yang tajam dan IJN telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan intipati ‘Madani’. Ini adalah peristiwa yang menyedihkan,” kata beliau dalam kenyataan di media sosial.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan, rawatan kepada penjawat awam dan bekas kakitangan kerajaan di IJN adalah sebahagian daripada pakej persaraan dan mereka telah berkhidmat untuk negara sepanjang hayat.

Rafidah berkata, pemotongan kos untuk langkah penjimatan harus disasarkan kepada program ‘ad hoc‘ yang membazir di semua peringkat kerajaan bagi semua jenis acara.

“Bukan dengan bermain dengan nyawa mereka yang paling memerlukan rawatan perubatan yang mana hospital dan klinik kecil tidak dapat menyediakan (kemudahan tersebut),” katanya.

Sebuah portal, Code Blue, berkongsi tulisan seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

“Saya membantah kerana masalah saya sangat rumit; pakar kardiologi kanan IJN bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa tangan mereka terikat kerana kerajaan sedang mengurangkan kos.

“Saya juga mendapat tahu pesara dan penjawat awam lain di seluruh negara, beberapa bulan lalu turut mengalami nasib yang sama.

“Jadi, saya pulang ke rumah dan membuat persediaan untuk berjumpa doktor di pusat jantung KKM berhampiran rumah saya. Ini bukan mudah kerana saya terpaksa membuat janji temu dan klinik sibuk,” katanya.

Pesara itu berkata, selepas lebih dua bulan beliau berjaya berjumpa doktor namun bimbang akan kehabisan ubat tidak lama lagi.

Lebih membimbangkan, pusat jantung yang berhampiran rumah pesara itu menyatakan, mereka tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan kes beliau dan bilangan ubat yang terhad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia akan menjelaskan perkara itu tidak lama lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast