KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk pemain industri perlu memberi masa dan ruang kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk melaksanakan agenda meningkatkan sektor pelancongan.
Naib Ketua Amanah, Ammar Atan berkata, kini terdapat pihak yang hanya memberi perhatian kepada mengkritik isu penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berbanding isu berkaitan industri pelancongan.
Katanya, King Sing dan kementeriannya menggalas tugas dan amanah untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Beri peluang kepada Menteri, Tiong King Sing untuk jalankan tanggungjawab sepenuhnya, beliau dilantik menerajui MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan sepatutnya kita berikan beliau masa buktikan peranan olehnya.
“Ini termasuklah melantik individu yang mahir, berfikiran progresif untuk memperbaharui industri pelancongan tempatan yang terus dihimpit persaingan daripada negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ammar, destinasi serantau seperti Phuket (Thailand), Bali (Indonesia), Ha Long Bay (Vietnam) dan Boracay (Filipina) menjadi pesaing utama Malaysia bagi menarik kemasukan pelancong asing.
Tambah beliau, andai tiada pembaharuan ketara dilakukan dalam industri pelancongan, ramai pemain industri pelancongan tempatan terpaksa menghentikan operasi kelak.
“Ramai rakyat kita lebih gemar melancong ke luar negara. Sekiranya trend ini berterusan, saya khuatir ramai pemain pelancongan tempatan akan gulung tikar.
“Apakah gunanya untuk salahkan sesiapa andai tiada pembaharuan signifikan dilakukan dalam industri pelancongan,” ujarnya.
Ammar berkata, kegagalan menarik pelancong asing mampu memberi tekanan kepada nilai ringgit kerana industri pelancongan menyumbang lebih 14 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – MalaysiaGazette
Samseng ni tak payah jadi menteri laa..fitnah dia kononnya pegawai imigresen di KLIA rasuah, sampai hari ni tak ada bukti!