Pemain Kuala Lumpur City FC, Ryan lambert (kiri) cuba melepasi beberapa pemain Al Seeb (Oman) pada perlawanan akhir Piala AFC 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Kuala Lumpur City, Ryan Lambert dilaporkan telah menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Ia susulan tular gambar dia sedang menyertai sesi latihan JDT baru-baru ini.

Sebelum ini, Ryan dan adiknya, Declan telah menarik minat beberapa kelab dalam saingan Liga Super yang mahu mendapatkan khidmat dua pemain ini musim depan.

Mereka menjadi buruan setelah KL City berdepan isu kewangan di mana pasukan itu masih bergelut untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dari musim lepas.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad menegaskan tunggakan gaji pemain KL City adalah sebanyak dua bulan melibatkan jumlah RM2 juta bukan empat bulan seperti didakwa.

Bagaimanapun terdapat beberapa individu melibatkan jurulatih, pemain tempatan dan import yang masih mempunyai kontrak bersama The City Boys sehingga tahun 2024 dan 2025.

Jika diambil kira dengan baki kontrak tersebut tunggakan gaji mereka antara empat hingga lima bulan bermula Oktober 2023 hingga Februari 2024.

Difahamkan gaji barisan pegawai dan pemain kelab itu dibayar pada setiap tujuh hari bulan dengan anggaran jumlah setiap bulan adalah sebanyak RM1 juta.

Menurut satu sumber, tunggakan gaji antara empat hingga bulan tersebut dimaklumkan oleh salah seorang daripada mereka yang mendakwa kali terakhir menerima gaji ialah untuk September 2023. – MalaysiaGazette