IPOH – Sepasang suami isteri melecur selepas terbabit dalam kebakaran melibatkan dua buah kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Taman Utama, Bercham di sini hari ini.
Mangsa lelaki berusia 60 tahun dan wanita berusia sekitar 50-an melecur hampir keseluruhan badan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar pukul 10.20 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikejarkan ke lokasi melibatkan 10 orang anggota.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal serta menemui dua mangsa mengalami kecederaan melecur tahap satu.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh ambulans,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Operasi yang diketua Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Redzuan Chik berjaya dikawal pukul 10.33 pagi. – MalaysiaGazette