KUALA LUMPUR – Bayi dan kanak-kanak di Gaza kini berhadapan dengan ancaman kematian akibat kebuluran di Gaza.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman seorang bayi yang berusia beberapa bulan mati akibat kekurangan zat.
Kejadian yang menimpa Sahar Zebdah adalah yang pertama dilihat dan diketahui akibat kekurangan zat sepanjang 11 tahun beliau berada di Gaza sebelum ini.
“Anak ini, Sahar Zebdah yang baru berusia beberapa bulan, syahid pagi tadi di Hospital Kamal Udwan di utara Gaza.
“Dia tidak mati dibom, tak mati ditembak, tetapi mati kerana kelaparan dan kekurangan zat. Sepanjang 11 tahun di sana, saya tak pernah melihat sendiri kes kematian kerana kebuluran.
“Yang selalu saya kongsikan ialah di bumi berkat tersebut, tak pernah ada kes kebuluran kerana tanamannya terlalu subur, penduduknya terlalu baik dan bantu-membantu,” katanya.
Penduduk Gaza kini tidak mempunyai pilihan dan terpaksa memproses makanan haiwan untuk dijadikan makan kerana tidak mempunyai bekalan akibat sekatan yang dilakukan oleh Israel.
Bagaimanapun penduduk yang terdesak untuk mengisi perut yang lapar berdepan risiko kesihatan malah terdapat laporan ada yang maut kerana makan makanan haiwan.
“Tetapi kalau pilihan yang ada sekarang ialah memakan makanan haiwan ternakan yang kerananya sudah ada kanak-kanak lain mati keracunan, ia pasti bukan salah mereka di sana.
“Ia muhasabah untuk kita, yang sudah jarang berkongsi berita, yang sudah berkira menyumbang seringgit dua, yang sudah malas mengangkat tangan merintih kepada Yang Esa.
“Mendekati bulan Ramadan, bulan berkongsi, bulan memberi dan cakna ini, moga-moga Allah mengampunkan kita semua,” katanya.
Israel sejak lima bulan lalu mengepung sepenuhnya wilayah Gaza dan menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan.
Beratus-ratus lori yang membawa bantuan makanan dan perubatan yang disumbangkan oleh masyarakat dunia dilaporkan tersadai di Mesir.
Sejumlah 30,000 maut dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza dan menyebabkan 80 peratus penduduk menjadi pelarian selepas dihalau dari rumah masing-masing yang sebahagian besar telah rosak dan musnah.-MalaysiaGazette