Sebanyak 10 kebakaran hutan direkodkan sepanjang Februari lalu di Balik Pulau dan Teluk Kumbar. - Gambar hiasan.

BALIK PULAU – Sebanyak 10 panggilan kecemasan diterima Bilik Gerakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau di sini sepanjang Februari berhubung kebakaran lalang dan hutan tidak dikawal.

Ketua Balai BBP Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata, daripada jumlah itu sebahagian kebakaran membabitkan lokasi berulang.

Jelas beliau, kesemua kebakaran itu berlaku ketika negeri ini berdepan dengan cuaca panas dan kebanyakan kebakaran membabitkan lokasi seluas antara lima hingga 100 meter persegi.

Mohd Faris.

“Antara lokasi yang terbabit ialah kawasan hutan di Jalan Bukit Lama, Jalan Teluk Kumbar, Kampung Perlis, tapak pembuangan sampah Teluk Kumbar dan ⁠Jalan Pantai Pasir Panjang.

“Kebanyakan kebakaran berpunca daripada pembakaran longgokan sampah yang tidak dikawal sehingga menyebabkan rebakan dan boleh menjadi lebih serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Faris berkata, kebanyakan kebakaran di lokasi terlibat sukar dipadamkan berikutan kedudukannya yang berada di lereng bukit.

Kawasan sekitar Balik Pulau ini terdiri daripada permukaan berbukit dan ada antara kejadian itu berlaku di lereng bukit berhampiran laut.

“Pasukan juga berdepan dengan kesukaran bagi mendapatkan sumber air terdekat berikutan perlu mendaki pada jarak jauh dan berbukit.

“Kita memang bersedia bagi tugas khas berkenaan namun di samping itu, masyarakat diingatkan supaya elak daripada melakukan pembakaran secara terbuka kerana pembakaran tersebut turut menjejaskan kualiti udara serta memberi kesan terhadap operasi bomba,” katanya. – MalaysiaGazette