Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung ketika Karnival Kerjaya MyFuture Jobs Kesuma Madani OKU dan TVET serta Pelancaran Insentif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di Pusat Konvensyen Idea (IDCC), Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 01 MAC 2024.

SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu melatih kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan pendidikan baharu berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemahiran mereka perlu ditingkatkan dengan manjalani program “upscaling” supaya mutu tenaga kerja negara dapat diangkat lebih tinggi, sesuai dengan perkembangan semasa.

“Kita mulakan dengan kakitangan PERKESO sendiri yang sudah 30-an dan 40-an, beri mereka program upscaling dan contoh yang baik.

“Program upscaling dalam bidang-bidang Ai baharu dan mencabar ini dapat mereka kuasai supaya terangkat mutu tenaga kerja kita,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap merasmikan Karnival Kerjaya MyFuture Jobs Kesuma Madani OKU dan TVET serta Pelancaran Insentif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di Pusat Konvensyen Idea (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kesatuan-kesatuan sekerja perlu mengambil serius perkara ini kerana beliau tidak mahu kakitangan kerajaan terikat dengan sistem lama.

“Kadang-kala Menteri terikat dengan Kementerian lama, KSU dan KP sukatan dan peraturan lamanya. Benda ini tiada dalam kuliah, kalau 10 tahun sudah ketinggalan.

“Jurutera yang belajar 15 tahun lalu akan dapati bahawa beberapa program dan penemuan baharu itu sudah jauh lebih ke depan.

“Yang belajar IT di universiti lima tahun lalu tidak pernah terkenal sangat dengan Open Ai, Chatgpt dan Sora, kerana ini semua penemuan baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast