Paul Labile Pogba.

LONDON – Bintang tengah Juventus, Paul Pogba dikenakan penggantungan empat tahun daripada bola sepak oleh tribunal antidoping Itali selepas diuji positif testosterone Ogos lalu, menurut kelab hari ini.

Seorang jurucakap kelab itu berkata, mereka dimaklumkan mengenai keputusan terhadap pemenang Piala Dunia berusia 30 tahun itu.

Pemain antarabangsa Perancis itu digantung secara sementara sejak September lalu.

“Kami menerima pemberitahuan daripada tribunal itu pagi ini,” kata jurucakap itu.

Pogba mengumumkan dia akan merayu keputusan itu, yang berisiko akan menamatkan kariernya lebih awal.

“Saya sedih, terkejut dan patah hati kerana segala-galanya yang saya bina dalam karier permainan profesional dirampas daripada saya.

“Susulan keputusan yang diumumkan hari ini, saya akan merayu perkara ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.

Penggantungan itu bermakna Pogba tidak akan dapat bermain lagi hingga musim 2027-28, ketika dia akan berusia 34 tahun.

Tahun lalu, pendakwa raya antidoping menggesa penggantungan empat tahun dikenakan ke atas bekas pemain tengah Manchester United itu.

Dia didapati positif selepas perlawanan pembukaan Juventus musim Serie A Itali menentang Udinese pada 20 Ogos lalu yang mana dia hanya memanaskan bangku pemain simpanan.

Sebulan kemudian sampel B mengesahkan kehadiran testosterone dan dia digantung sementara sejak itu. – MalaysiaGazette