KUANTAN – Lebih 50,000 orang menyertai RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024 yang julung kali diadakan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kehadiran pengunjung sekali gus merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan di negeri ini.
“Acara permotoran RXZ ini adalah platform kerajaan Pahang untuk meraikan minat dan kegemaran anak muda.
”Jadi, bukan sahaja penunggang motosikal, tetapi peniaga di sekeliling pun majoriti anak muda dapat merancakkan ekonomi di sini.
“Malah, aktiviti pelancongan juga dirancakkan apabila, hotel, rumah inap desa dan pengusaha restoran juga mendapat manfaat daripada program ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurut Fadzli, pihaknya tidak menolak cadangan untuk melaksanakan program ini pada tahun hadapan memandangkan sambutan baik yang diterima.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu berkata, penganjuran RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024 adalah bagi mendidik peminat dan penunggang motosikal menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan mematuhi peraturan.
“Pandu cermat, hormat pengguna jalan raya lain, sebab itu dalam promosi, kita sentiasa utarakan soal disiplin di atas jalan raya ini.
”Melihat sambutan mungkin dilaksanakan lagi dan kita akan menilai beberapa perkara dan mungkin tiada masalah untuk kita buat di daerah lain,” jelas Fadzli.
Selain itu acara yang bermula pada Jumaat dan berakhir Sabtu pertandingan airbrush, pertandingan dyno fighter, sesi taklimat keselamatan dan cabutan bertuah. – MalaysiaGazette