Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pekerja warga asing di sebuah pasar raya di Ampang, di sini, kerana disyaki mencabul rakan sekerjanya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 32 tahun pada jam 4.45 petang hari kejadian.

Katanya, mangsa mendakwa selepas waktu kerja ketika berada di bahagian stor simpanan, suspek bertanya tentang berat badannya sebelum mencabulnya.

“Suspek memeluk dan cuba mencium mulut mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, sepasukan polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Jalan Taman Permata pada jam 2.30 petang semalam.

Tambah beliau, suspek yang berusia 27 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. -MalaysiaGazette