KUALA LUMPUR – Bekas Juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman tekad merampas gelaran Juara Dunia MCW yang kini disandang ahli gusti profesional dari Australia, Slex dalam perlawanan MCW Icons pada 30 Mac.

Emman yang sinonim dengan gelaran The Golden Boy, berkata beliau yakin mampu merampas tali pinggang kejuaraan dunia MCW itu dengan mempergiatkan latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Carlo Canon.

“Emman ada upcoming perlawanan MCW Icons di Melbourne pada 30 Mac ini di mana Emman nak rampas tali pinggang MCW World Champion apabila bertemu penyandang dari Australia, Slex dan bawa balik ke Malaysia,” katanya.

Emman berkata demikian selepas tamat perlawanan New Breed II anjuran Malaysia Pro Wrestling (MYPW) di KuAsh TTDI malam tadi.

Pada perlawanan New Breed II, Emman tewas kepada pemain senegara, Thommy Ardhi dalam masa 14 minit.

Katanya, beliau sengaja memberikan kemenangan kepada Thommy walaupun diasak bertubi-tubi sempena meraikan 10 tahun gusti profesional di Malaysia.

Tambahnya, tindakan itu dapat melonjakkan semangat dan keyakinan diri Thommy pada aksi perlawanan yang akan datang.

“Memang perlawanan ini Emman nak bagi Thommy menang. I gave everything I had. Emman pukul, lempang, apa-apa pun tapi Thommy menang. Emman bukan kecewa tapi Emman very proud that Thommy dah kalahkan Emman.

Last year Thommy kalah dalam 20 saat. Malam ini dia kalahkan Emman dalam 14 minit. I very proud of him (Saya bangga dengan dia),” katanya.

Menyentuh mengenai harapan sempena 10 tahun gusti profesional di Malaysia, Emman mahu melihat anak-anak muda turut serta dalam bidang ini di samping mengikut jejak langkahnya mengukir nama di peringkat antarabangsa.

“New Breed II, kita cuba buat lagi menarik daripada New Breed I. One year in the making. This year, sempena 10 tahun Malaysia Pro Wrestling, Emman memang suka tengok new Malaysian Pro Wrestlers, anak muda yang join sebab tengok Emman di Youtube tapi sekarang mereka sertai jadi ahli gusti profesional.

“Sebab gusti profesional tidak akan berhenti di Malaysia. Sentiasa berterusan. Seperti mana Emman dapat mencipta nama negara di negara luar dan pernah dapat tali pinggang kejuaraan, Emman nak mereka pun ikut jejak langkah sama.

“Malaysia Pro Wrestling dah ada di negara ini dekat 10 tahun. Tapi ramai yang tak tahu mengenai kewujudan sukan gusti profesional. Ada ke wrestling di Malaysia? Inilah antara misi Emman supaya ramai yang tahu, seperti sambutan meriah perlawanan malam ini,” katanya.

New Breed II diadakan bagi meraikan 10 tahun gusti pro di Malaysia di mana ia menampilkan bakat gusti anak-anak tempatan menentang ahli gusti negara luar seperti Australia dan Singapura.

Untuk rekod, Emman cemerlang pada pembuka tirai 2024 perlawanan Renegades of Wrestling dengan menewaskan Robbie Eagles dalam pertarungan berlangsung 26 minit di Melbourne, Australia pada 25 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast