Gambar hiasan

KAJANG – Seorang pelajar universiti kehilangan RM1,400 kepada scammer apabila cuba meminjam secara online untuk membayar yuran pengajian.

China Press melaporkan, sebelum kejadian penipuan, mangsa berumur 21 tahun telah menghabiskan pinjaman pendidikan sebanyak RM5,000 untuk menguruskan hal kecemasan keluarga.

Keadaan itu menyebabkan dia kekurangan duit untuk membayar yuran pengajian dan pada masa itu dia ternampak iklan dalam Facebook yang menawarkan pinjaman dengan kelulusan dalam tempoh sejam.

“Saya memberitahu bahawa diri merupakan pelajar yang tiada pendapatan, maka scammer meminta saya menyertakan maklumat ahli keluarga. Bimbang mungkin ahli keluarga akan diganggu, saya memberikan maklumat palsu.

“Disebabkan saya perlu duit dengan segera, scammer meminta saya menyediakan bayaran awal sebelum mereka menyalurkan pinjaman RM5,000.

“Selepas tawar-menawar dan berbincang, saya memindahkan RM1,400 iaitu semua wang yang saya ada kepada scammer itu,” katanya kepada China Press.

Mangsa yang berada di Kajang, Selangor mula menyedari diri tertipu apabila pinjaman yang dijanjikan itu tidak kesampaian dan scammer asyik memberi alasan.

Mangsa membuat laporan polis pada 29 Februari selepas tertipu pada hari sebelumnya. – MalaysiaGazette