JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum mengenai kesesakan luar biasa yang berlaku di zon motosikal Kompleks Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesesakan ini berlaku disebabkan oleh masalah gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar.
“Insiden gangguan sistem ini berlaku disebabkan oleh kerja-kerja konfigurasi sistem yang sedang dilaksanakan oleh syarikat pengendali baharu yang dilantik bermula pada 29 Februari 2024.
“Pihak syarikat pengendali dan Jabatan Imigresen Malaysia sedang mengambil tindakan drastik bagi mengatasi gangguan ini dan gangguan dijangka dapat di atasi dalam masa terdekat.
“Bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan motosikal, Jabatan Imigresen Malaysia telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan kaunter manual secara maksimum bagi membolehkan pemeriksaan di zon motosikal dilakukan secara manual sehingga isu gangguan sistem diatasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Ruslin, pihaknya komited melakukan yang terbaik bagi memastikan masalah gangguan itu dapat dipulihkan pada kadar segera.
Sementara itu, beliau menafikan laporan berita yang mendakwa penamatan kontrak M-Bike disebabkan arahan ‘orang atasan’.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya. – MalaysiaGazette