KUALA LUMPUR – Pelancaran Pangkalan Data Utama (Padu) didakwa untuk menunjukkan kejayaan Kerajaan Madani tetapi tindakan itu disifatkan terlalu awal sehingga ia memperlihatkan kegagalan sistem tersebut.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin (Perikatan Nasional) mendakwa, pengenalan Padu telah menimbulkan isu berkaitan sistem tersebut – melibatkan fungsinya terhadap subsidi bersasar dan aspek keselamatan dan data.
Beliau mendakwa terdapat banyak isu berbangkit berkaitan sistem tersebut yang disuarakan rakyat melibatkan fungsinya terhadap subsidi bersasar dan aspek keselamatan dan data.
“Kalau tanya saya bukan satu kegagalan tapi nak tunjuk berjaya terlalu awal, nak bercakap terlalu awal tanpa mereka betul-betul melihat sesuatu perkara dengan teliti, akhirnya gagal.
“Rakyat tertanya-tanya apakah manfaat sebenarnya yang mereka dapat dengan mendaftar dengan Padu?
“Ini soalan paling susah saya nak jawab kepada rakyat. Kalau manfaatnya subsidi bersasar apakah bentuk bantuan, syarat dan berapa jumlah bantuan diterima sekiranya memenuhi syarat?
“Sebab itu kenyataan Menteri Ekonomi pada 29 Disember 2023 yang menyatakan jika tidak kemas kini tidak ada masalah tapi kalau tidak dapat subsidi jangan marah, ini amat tidak membantu,” katanya ketika menyampaikan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Jelas beliau, rakyat turut menyuarakan kebimbangan tentang keperluan sistem tersebut untuk mengetahui komitmen individu yang berdaftar dengannya yang dianggapnya sebagai maklumat peribadi dan tidak sepatutnya dikongsikan.
“Dalam sistem ini, rakyat perlu isiĀ komitmen atau hutang serta insurans, kena isi pinjaman perumahan, kenderaan, pendidikan, peribadi dan makluman insurans, sedangkan rakyat rasa hutang ini maklumat peribadi yang jarang dikongsi di mana-mana domain awam, hatta LHDN pun tidak minta maklumat hutang.
“Jadi rakyat tertanya-tanya kenapa nak kena isi sampai maklumat hutang apakah tujuannya? Adakah yang mempunyai hutang yang besar akan dapat bantuan lebih tinggi? Jadi perkara-perkara ini perlu dijelaskan kepada rakyat, tidak cukup letak di situ dan minta mereka isi kerana ini maklumat privasi bagi pengguna,” tambahnya.
Tambah bekas menteri Ppendidikan itu lagi, kerajaan perlu menjelaskan agensi yang akan mengesahkan semua data-data pendaftar Padu.
“Paling penting, agensi mana yang akan menggunakan, mengesahkan data-data yang ada dalam Padu ini? Siapa pula yang akan mengesahkan data-data tersebut? Seperti yang saya sentiasa cadangkan supaya kerajaan tubuhkan satu agensi khusus yang akan jadi badan yang menggunakan data-data ini,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau membuat kesimpulan kerajaan tidak sepatutnya melancarkan Padu sebaliknya memberi penjelasan kepada rakyat terlebih dahulu sehingga tidak ada lagi isu yang berbangkit ketika pelaksanaannya.
Terdahulu Radzi berkata, sejak dilancarkan Januari lalu sehingga 2 Mac, seramai 4 juta orang telah berdaftar dengan Padu termasuk penjawat awam.- MalaysiaGazette