Anwar berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Srettha Thavisin di Australia. Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sempat bertemu dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Australia.

Menurutnya, pertemuan santai itu memberi peluang kepada mereka berdua untuk bertukar pandangan mengenai kemajuan inisiatif yang dipersetujui bersama.

Katanya, ia secara langsung akan menambah nilai kepada usaha merapatkan hubungan dua hala.

“Selain itu, diskusi juga terarah kepada perkembangan terkait Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

“Malaysia mengulangi komitmen sebagai fasilitator dalam membantu menyelesaikan konflik di selatan negara itu,” kongsi beliau menerusi hantaran di Facebooknya.

Anwar kini berada di Australia mengetuai delegasi Malaysia ke dua program utama iaitu Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia. – MalaysiaGazette