JOHOR BAHRU – Bagi memastikan tiada pelajar di Johor tercicir pada sesi persekolahan yang akan dibuka pada minggu depan, kerajaan negeri akan memastikan bantuan terutama melibatkan persiapan persekolahan dijadikan keutamaan.
Ia terutama melibatkan keluarga B40 yang berhadapan masalah itu, kata Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin.
Menurutnya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri itu diarahkan untuk memastikan tidak ada pelajar tercicir.
“Langkah sedemikian selari dengan harapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang tidak mahu melihat ada anak-anak di negeri ini yang akan tercicir dalam soal pendidikan,” katanya.
Beliau pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota persefahaman (NoU) UDA Holdings Bhd (UDA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany.
Semalam Aznan turut mengumumkan Johor menperuntukan RM2.8 juta untuk melaksanakan program Bantuan Kasih Murid Johor 2024 di negeri itu.
Ia sebagai langkah untuk membantu murid-murid sekolah yang kurang berkemampuan untuk memberi bantuan persekolahan sekolah bagi meringankan beban ibu bapa.
Dalam pada itu, Aznan berkata, peruntukan sebanyak RM50,000 disalurkan ke setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan dan asnaf membeli kelengkapan persekolahan.
Katanya, Bantuan Kasih Murid Johor ini dimanfaatkan oleh seramai 11,200 murid kurang kemampuan. – MalaysiaGazette