JOHOR BAHRU – Bagi memastikan tidak berlaku penularan maklumat tidak tepat, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) diarah memantau video yang tular media sosial terutama membabitkan sekolah, pelajar dan guru di negeri itu.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, langkah itu perlu untuk memastikan institusi pendidikan negeri diperkotak-katikan.
“Seharusnya perlu ada langkah bagi menangani penularan di media sosial membabitkan institusi sekolah. Ini sudah pasti untuk menjaga nama baik sekolah mahu pun institusi diberi gambaran buruk melalui media sosial membabitkan sekolah, guru dan pelajar supaya ia tak jadi tohmahan dan cercaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Nota nota persefahaman (NoU) UDA Holdings Bhd (UDA) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany.
Dalam pada itu, Aznan berkata, tiada pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dibuat di sekolah setakat ini walaupun ada cadangan untuk melakukannya sebelum ini.
Cadangan itu bagi membolehkan pemantauan salah laku pelajar,termasuk kes buli.
“Setakat ini saya rasa tiada keperluan untuk sekolah di Johor memasang CCTV termasuk bagi menangani kes buli. Ini kerana prosedur ini memerlukan keizinan Kementerian Pelajaran (KPM). Saya akan semak dengan KPM kerana perkara dasar seperti ini perlu rujuk mereka,” katanya.- MalaysiaGazette