PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan penyeludupan termasuk dadah di sempadan negara.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dua minggu lalu, dalam mencari langkah penyelesaian terbaik dan holistik untuk menghapuskan pangkalan haram yang menyumbang kepada kes jenayah penyeludupan.
“Satu pembentangan telah dibuat oleh agensi perisikan keselamatan, bukan sahaja membentangkan tentang permasalahan dan ancaman, malah mencadangkan jalan keluar antaranya masalah kewujudan pangkalan haram terutama di kawasan sempadan negara kita Kedah, Perlis dan Kelantan dengan negara jiran.
“Dalam pembentangan ini disyor supaya kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil satu usaha bersama untuk lupuskan dahulu pangkalan haram ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis ringkas di kediaman rasminya malam tadi.
Kelantan menjadi perintis disebabkan kewujudan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
“Itu antara tujuan pertemuan saya nanti dengan Menteri Besar (Kelantan), tetapi buat masa ini saya belum utus apa-apa surat lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette