KUALA LUMPUR – Sebanyak 39 maklumat dalam Pangkalan Data Utama (Padu) perlu dikemas kini termasuklah komitmen individu bagi mengesahkan kelayakan menjadi penerima bantuan kerajaan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata segmen-segmen dalam Padu penting bagi membolehkan algoritma dalam sistem berkenaan mengesahkan setiap maklumat yang diberikan.
Menurutnya, setiap maklumat itu akan diselarikan dengan data pentadbiran kerajaan sebelum ia disahkan betul atau sebaliknya.
“Kemas kini diperlukan untuk beberapa tujuan khusus, pertama untuk kita memastikan tidak ada keciciran. Contohnya kalau ada kumpulan atau keluarga yang mempunyai pendapatan keluarga boleh guna bersih yang layak dapat tapi tidak pernah ada dalam senarai Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) atau Sumbangan Tunai Rahmah (STR), inilah tujuannya iaitu untuk kenal pasti kumpulan ini.
“Ada juga yang dalam senarai menerima bantuan selama berpuluh tahun tapi sebenarya dia tidak layak. Jadi akan ada kategori-kategori khusus, contohnya kalau data pentadbiran tepat dengan segala yang telah diisytihar, ia sudah tentu menjadi kumpulan isi rumah ‘goal standard’ maksudnya semua data betul dan tepat.
“Tapi kalau ada perbezaan, ada perkara berlainan algoritma ini akan mengesahkan dan akan dimasukkan ke dalam kategori untuk dikaji dan disahkan.
“Sebab ada keluarga contohnya selama ini bertahun-tahun dapat bantuan kerajaan daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan STR kerana kita tidak semak berapa kereta dia ada. Dia hanya tunjuk pendapatan RM1,500, betul-betul miskin tapi data pentadbiran (menunjukkan) dia ada kereta lima buah mewah, mustahil seseorang yang pendapatan sebanyak ini,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Barisan Nasional).
Ka Siong sebelum itu bertanyakan berkenaan 39 soalan dalam Padu yang perlu diisi termasuk maklumat berkenaan komitmen dan pinjaman-pinjaman individu yang mendaftar sistem itu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Padu merupakan cara kerajaan menginstitusikan maklumat melibatkan kemahiran data yang lebih tinggi bagi memudahkan kerajaan mengenal pasti, membersih dan mencapai rakyat yang sebelum ini terkeluar daripada senarai menerima bantuan yang sepatutnya.
Semalam Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin (Perikatan Nasional) mendakwa, pengenalan Padu telah menimbulkan isu melibatkan fungsinya terhadap subsidi bersasar dan aspek keselamatan dan data.
Katanya, terdapat banyak isu berbangkit berkaitan sistem tersebut yang disuarakan rakyat melibatkan fungsinya terhadap subsidi bersasar dan aspek keselamatan dan data.- MalaysiaGazette