ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap 24 pertuduhan rasuah bernilai RM9,600 sepanjang 2017 dan 2018.
Mohd Azlan Iswan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Dia dituduh menerima wang tunai RM400 sebanyak 24 kali daripada seorang penyelia syarikat kontraktor yang didakwa mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat tersebut, melalui pindahan wang ke dalam akaun bank miliknya.
Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sik itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah bank di Sungai Petani antara 3 Jan 2017 hingga 4 Disember 2018.
Mohd Azlan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama