Kuala Lumpur – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meningkatkan Bantuan Ihya’ Ramadan sekali ganda berbanding tahun sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sejumlah RM19.03 juta diperuntukan untuk diagihkan kepada 92 masjid, 138 Surau Jumaat dan 641 surau di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Katanya, setiap masjid akan menerima sumbangan berjumlah RM30,000 berbanding RM15,000 tahun lalu dan surau Jumaat menerima RM25,000 berbanding RM12,500 tahun lalu.
Manakala surau biasa akan menerima sumbangan berjumlah RM20,000 berbanding RM11,000 pada tahun.
Beliau menegaskan sumbangan yang diberikan bukan untuk disimpan oleh pengurusan masjid dan surau tetapi sebaliknya digunakan bagi melipatgandakan aktiviti mengimarahkan bulan Ramadan.
“Ini salah satu keprihatinan MAIWP untuk menyediakan kemudahan dan menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat Islam termasuk di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.
“Saya sebutkan kepada pengerusi dan pengurusan masjid dan surau untuk mengandakan usaha untuk mengimarahkan masjid dan mengajak lebih ramai ahli kariah. Mengadakan aktiviti yang lebih menarik, inovatif untuk mengajak belia untuk datang ke masjid dan surau,” kata Mohd. Na’im.
Beliau berkata demikan kepada media selepas merasmi dan menyampaikan ucapan pada Persidangan Pengurusan Masjid Dan Surau, Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan Dan Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2024M di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Seramai 1,000 orang peserta yang hadir terdiri daripada pengerusi dan ahli jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau dari seluruh Wilayah Persekutuan.
Program yang dilaksanakan secara tahunan semenjak tahun 2018 itu menyediakan platform kepada para peserta untuk berkongsi maklumat, pandangan dan pengalaman dalam usaha mengoptimumkan peranan dan fungsi masjid sebagai pusat perpaduan ummah dan penyebaran ilmu.
Pada majlis tersebut, Mohd. Na’im turut mengumumkan penyaluran Bantuan Khas Persediaan Ramadan sebanyak RM500 secara one-off kepada 32,250 orang penerima Bantuan Kewangan Bulanan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Bantuan Khas Persediaan Ramadan tersebut melibatkan peruntukkan berjumlah RM16.125 juta.
“Alhamdullillah, bantuan Khas Persediaan Ramadan ini disalurkan
pada hari ini, 5 Mac 2024 kepada akaun penerima.
“Gunalah bantuan ini sebaik mungkin. Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban para asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam menyambut Ramadan Al-Mubarak,” katanya.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya. – MalaysiaGazette