Bayi lelaki ditemui depan sebuah kedai di Subang Jaya pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik kedai terkejut selepas menemui seorang bayi disyaki ditinggalkan di premisnya di hadapan bangunan rumah kedai Court 4, USJ, Subang Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan tentang insiden itu daripada orang awam pukul 8.13 pagi.

Siasatan awal pasukan di lokasi mendapati bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan masih hidup dan sihat serta tidak bertali pusat.

“Bayi itu telah dihantar ke Hospital Shah Alam dengan menaiki ambulans untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu tampil segera menyalurkan pada Sarjan Sharifah Fatimah Mardhiyani di talian 017-914 9376

“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tegasnya.-MalaysiaGazette