Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Langkah rasionalisasi subsidi minyak didakwa akan memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh-PN) berkata, pelan itu tidak sesuai dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat memandangkan kerajaan telah menguatkuasakan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baru-baru ini.

Ujar beliau, kejatuhan nilai ringgit juga telah memberikan impak negatif kepada rakyat.

“Saya 100 peratus yakin harga semua barang dan perkhidmatan akan naik kita lihat lebih ramai rakyat sengsara (jika rasionalisasi minyak dilaksana). Kaji lebih teliti rasionalisasi diesel dan petrol, adakah sesuai dilaksana pada waktu ini? Mungkin elok kerajaan tangguh dulu rancangan ini buat sementara waktu.

“Saya faham beban fiskal disebabkan subsidi adalah besar tapi dalam masa yang sama adakah kita rela rakyat tanggung sengsara dan dalam masa terbeban?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan sebelum ini dijangka akan melakukan pelan rasionalisasi subsidi minyak secara berperingkat.

Ujar Muhyiddin lagi, meskipun kenaikan kadar SST kepada lapan peratus tidak meliputi semua perkhidmatan namun sektor logistik berkait dengan semua perniagaan barangan keperluan asas.

Jelas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, rantaian itu akan mengakibatkan kos peniaga makanan turut meningkat.

“Semalam ada timbalan menteri yang ingatkan peniaga yang tidak terlibat dengan kenaikan kadar SST supaya tidak naikkan harga. Ya, betul makanan dan minuman tidak terbabit tapi katakan penjual nasi campur, ia turut libatkan kos logistik untuk hantar bahan mentah seperti daging, ayam dan lain-lain.

“Jadi pasti kos operasi meningkat. Kalau ini terjadi peniaga akan naikkan harga lebih tinggi. Adakah kerajaan hari ini faham kesan cukai terhadap rantaian yang kesannya ditanggung rakyat jelata,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan menyifatkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memainkan peranannya apabila dilihat mengelirukan rakyat.

“Contoh sebelum ini Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal sebelum ini membuat pengumuman berkenaan Beras Putih Malaysia Madani, tidak tahu macam mana timbul perkara ini.

“Lepas tu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kata kerajaan belum buat keputusan. Perdana Menteri pula kata ia akan dibawa dalam mesyuarat NACCOL. Persoalannya adakah isu beras diselesaikan? Jawapannya belum.

“Tidak pernah berlaku beras tempatan tiada dalam pasaran, harga beras tempatan naik. Saya tidak kata saya setuju monopoli beras tapi ia tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu Muhyiddin meminta Perdana Menteri, KPKM dan NACCOL serius dalam menangani isu berkenaan.

Katanya lagi, kebimbangan PN adalah terhadap ekonomi negara yang semakin meruncing pada ketika ini kerana ia berkait rapat dengan rakyat.

Beliau turut mengingatkan supaya Perdana Menteri menunaikan semua janji yang pernah disuarakan kepada rakyat sebelum ini.

“Tambun (Anwar) dulu masa jadi pembangkang pandai janji macam-macam, satu pun tidak ditunaikan. Saya ingatkan, walk the talk. Ingatlah janji yang ditabur kepada rakyat dahulu, jangan berbohong kepada rakyat, buruk padahnya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast