MELAKA – Lembaga Tabung Haji (TH) diarah memperkukuhkan tahap keselamatan perkhidmatan digitalnya, THiJARI bagi menangani isu wang pendeposit yang didakwa lesap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan itu telah diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Menurutnya, TH juga telah membuat laporan polis berkenaan kejadian yang berlaku melibatkan aplikasi THiJARI dan akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani isu berkenaan.
“Saya telah arahkan CEO TH memperkukuhkan lagi sistem keselamatan THiJARI ini bagi memastikan keselamatan wang pendeposit ini terjamin.
“Itu jaminan TH namun kita tak mampu lakukan ini sendirian sekiranya pendeposit TH tidak ambil pendekatan berhati-hati terhadap taktik sindiket penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024 (KBK 2024), di sebuah hotel di Bandar Hilir di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo dan Mufti Kerajaan negeri, Datuk Abd Halim Tawil.
Media pada 14 Februari lalu melaporkan seorang peniaga di Kelantan kerugian sebanyak RM692,500 apabila wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) TH miliknya lesap.
Ia selepas mangsa diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis.
Dalam kejadian terbaharu semalam, seorang bilal masjid di Hulu Selangor kehilangan RM12,000 dalam akaun Tabung Haji miliknya yang didakwa dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.
Laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu apabila wang simpanan TH didakwa berkurangan dan hasil siasatan mendapati mangsa menerima satu pesanan ringkas dari TH memaklumkan terdapat pemindahan wang melibatkan akaun miliknya ke akaun bank individu lain.
Semakan mendapati berlaku satu transaksi pemindahan wang sebanyak RM3,000 pada 20 Februari dan dua kali transaksi berjumlah RM1,000 dan RM2,000 pada 21 Februari.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, dalam kes terbaru yang berlaku itu, TH juga telah mengambil pendekatan awal membekukan akaun tersebut selepas mendapati berlaku transaksi mencurigakan sebelum menerima laporan.
“Kalau ikutkan, TH terima aduan pada 26 Februari, tapi kita dah bekukan akaun berkenaan sekitar 23 Februari.
“Kita percaya kalau tiada tindakan awal dibuat, kemungkinan besar banyak lagi duit akan lesap menunjukkan kita telah lakukan pendekatan awal sebelum menerima laporan,” katanya. – MalaysiaGazette.