Reaksi Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara melepas dan membebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ketika di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MARCH 2024.

PUTRAJAYA – Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melahirkan kesyukuran apabila Mahkamah Rayuan, di sini, melepas dan membebaskannya daripada sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta.

Sejurus selepas keputusan dibacakan oleh tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah, bekas bekas Pengerusi Felda itu tersenyum dan mengucap syukur beberapa kali.

Mohd Isa berkata, beliau tidak sabar untuk kembali meneruskan kehidupannya seperti sedia kala setelah berdepan pertuduhan mahkamah selama lebih enam tahun.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, saya ingin ucap terima kasih dan penghargaan kepada keluarga dan barisan peguam yang telah bertungkus lumus lebih enam tahun, sehinggalah keputusan hari ini.

“Dari awal lagi saya sudah nyatakan, saya tidak bersalah namun pastinya ada proses yang perlu kita ikut. Mahkamah telah gunakan semua peruntukan perundangan dan kita ikut. Keputusan hari ini sangat melegakan buat saya dan isteri.

“Sebagai seseorang yang kena didakwa, apa jua keputusan dan saya amat berterima kasih dengan keputusan hari ini. Saya tidak mahu beri komen yang panjang lebar tapi terima kasih semua,” katanya kepada media, hari ini.

Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3.09 juta terhadap pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Ditanya adakah beliau akan terus aktif politik, Mohd Isa berkata, dia sudah bersara namun mungkin akan kembali.

“Jika ada peluang supaya saya kembali aktif, mungkin. Namun, saya akan terus kekal setia dengan UMNO,” ujarnya. -MalaysiaGazette