Nur Zulfa (kanan) ketika ditemui di Jabatan Imigresen Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Tindakan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang tahun ini tidak hanya tertumpu pada Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) sebaliknya lebih fokus kepada majikan yang menggajikan mereka.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, ia susulan ramai majikan yang dilihat sengaja tidak memohon mendapatkan permit sah atau melengahkan permohonan memperbaharui pas untuk pekerja warga asing yang digaji.

“Antara alasan yang kerap diberikan (majikan) adalah terlepas pandang, sibuk dan tidak sempat untuk memohon atau memperbaharui pas ketika pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguatkuasa.

“Malah, ada juga yang beri alasan kononnya tidak tahu kaedah untuk mendapatkan pas pekerja asing,” katanya pada sesi ramah mesra bersama media di Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Tambah beliau, seramai 42 majikan dikenakan tindakan tahun lepas kerana menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah.

“Manakala untuk tahun ini, setakat semalam seramai lapan majikan telah diambil tindakan.

“Saya ingin tegaskan di sini, kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nur Zulfa berkata, sebanyak 435 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah terbabit, seramai 2,696 individu telah diperiksa dan 584 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan manakala 42 majikan turut dikenakan tindakan undang-undang.

“Setakat semalam, sebanyak 166 operasi penguatkuasaan telah dijalankan membabitkan pemeriksaan terhadap 605 individu.

“Daripada jumlah terbabit, 116 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan manakala lapan majikan dikenakan tindakan undang-undang.

“Majoriti pendatang asing yang ditahan ini adalah warga negara Bangladesh, Indonesia dan Myanmar yang kebanyakannya bekerja dalam sektor pengilangan dan pembinaan,” katanya. – MalaysiaGazette