Mohamad menghadiri Mesyuarat OIC di Jeddah, Arab Saudi.- Foto Ihsan Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Malaysia teguh menggesa gencatan senjata dilakukan segera di Gaza dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab semalam.

Mesyuarat itu diadakan untuk membincangkan berkenaan kezaliman Israel terhadap penduduk Gaza dan Wilayah Palestin.

Suara negara itu dibawa oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin yang turut menekankan kepentingan kerjasama negara sepemikiran dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Saya menyeru semua negaraanggota untuk memainkan peranan penting untuk terus membantu United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Rakyat Palestin.

“OIC perlu mencari jalan penyelesaian untuk membela nasib rakyat Palestin di samping memastikan Israel di bawa ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan,” katanya.

Penyertaan Malaysia ke mesyuarat itu selaras dengan usaha berterusan untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin di platform antarabangsa.

Malaysia juga turut menyertai prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin.

Dalam mesyuarat itu, Malaysia mengulangi pendiriannya untuk Palestin menjadi negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan Palestin diterima sebagai Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – MalaysiaGazette