Tiga orang imam dari UPSI bergambar dengan Dr Norkhalid Salimin TNC HEPA UPSI

Wakil UPSI terpilih ke Program Qari in Residence di Oxford

TANJUNG MALIM – Peluang menjadi imam solat terawih merupakan satu nikmat tidak diperolehi oleh kebanyakan umat islam. Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar bagi insan yang terpilih dalam melaksanakan suruhan Allah SWT.

Satu penghormatan dan pengiktirafan besar buat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila dua orang pelajar dan seorang kakitangan telah dipilih untuk menjadi imam di University Oxford, United Kingdom, Malaysia Hall Sydney dan Malaysia Hall Melbourne, Australia sepanjang bulan Ramadan tahun 2024.

Dua pelajar UPSI tersebut merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, Fakulti Sains Kemanusiaan iaitu Ikram Hakim Mat Nasir akan menjadi imam di Universiti Oxford, United Kingdom.

Sementara itu, Nasrul Zikri Mohd Nazri pula akan menjadi imam di Dewan Malaysia Melbourne, Australia dan Muhammad Majdan Ismail, Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI akan ditempatkan di Dewan Malaysia Sydney, Australia.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pengiktirafan dan peluang daripada Universiti (Oxford) yang merupakan universiti terbaik dunia dan pejabat Education Malaysia Australia kepada UPSI dan Malaysia.

“Saya berharap ketiga-tiga wakil UPSI dapat menjadi contoh dan melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang mereka berada di sana,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (HEP&A) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, selain memimpin solat tarawih sepanjang Ramadan, mereka juga diminta menjadi tenaga pengajar asas tahfiz al-Quran.

Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menyertai program-program dakwah kepada komuniti islam setempat disepanjang keberadaan mereka di sana nanti, ujar beliau. – MalaysiaGazette