KUALA LUMPUR – Rakyat kini kecewa dengan kegagalan kerajaan menguruskan isu kos sara hidup dan ditambah pula dengan pelbagai cukai atas cukai yang diperkenalkan.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, apatah lagi sebelum ini, mereka dihimpit dengan isu seperti sekuriti ekonomi dan makanan, harga makanan dan perkhidmatan melambung tinggi, kesan kejatuhan mata wang dan penarikan subsidi
Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional berkata, walaupun dibentangkan dengan pelbagai teori, hakikatnya rakyat sedang menderita.
“Cukai atas cukai atas cukai dan berteorilah macam mana pun hakikatnya rakyat sedang menderita sekarang.
“Apa yang mereka mahu adalah seperti Kerajaan Perikatan dan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pagoh dan Bera sebelum ini, yang penting makanan di atas meja rakyat jelata dan bukannya berteori semata-mata,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Dan Tahniah Titah Diraja.
Pada 1 Mac lalu, kerajaan memperkenalkan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar lepan peratus yang sebelum ini kadarnya adalah pada enam peratus.
Namun kenaikan tersebut tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas dan gaya hidup rakyat di Malaysia.