Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah (kanan) ketika hadir ke rumah ibu Nga Kor Ming berhubung nota ugutan yang bertaburan di hadapan rumah Menteri KPKT itu di Ayer Tawar, Manjung. Foto ihsan Ahli Majlis MPM, Teong Duong Woon.

IPOH – DAP Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab menghantar nota ugutan ke rumah ibu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Ayer Tawar, Manjung pagi ini.

Ahli Jawatankuasa DAP Perak dalam kenyataan berkata, tindakan tersebut jelas melanggar undang-undang selain ia bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat yang beradab.

“Sehubungan itu, kami menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak polis untuk menjalankan siasatan dan menangani kes-kes yang berbentuk ugutan.

“Kami menyanjung kedaulatan undang-undang berpandangan setiap individu mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyuarakan pendapat masing-masing tanpa perlu bimbang akan diugut atau diserang secara fizikal.

“Oleh itu, dalam masyarakat yang demokratik dan berbilang kaum, adalah penting untuk kita menegaskan bahawa kepelbagaian harus dihormati dan suara yang berbeza harus diterima dengan penuh keterbukaan,” kata mereka.

Dalam pada itu, mereka turut memohon semua pihak untuk bertenang dan bersikap rasional dalam menghadapi situasi ini.

“Pada masa ini, adalah penting untuk semua pihak mengamalkan semangat perpaduan demi memelihara keharmonian masyarakat dan kestabilan negara,” jelas mereka.

Terdahulu MG Perak melaporkan, ruang hadapan rumah ibu kepada Kor Ming dihujani nota berbaur ugutan di Ayer Tawar, Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu sekitar 10.15 pagi oleh ibu menteri tersebut yang berusia 76 tahun.

“Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi itu, ketika ibu menteri berkenaan keluar rumah, dia mendapati banyak kertas bertaburan di hadapan rumah dengan tulisan ‘Nga Kor Ming jangan cabar islam’ dan percaya perkataan tersebut mempunyai niat yang tidak baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast