Pengamal media yang bertugas di Mahkamah Selayang, Selangor Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Tempoh sah laku Kad Perakuan Media (KPM) dikekalkan dua tahun untuk pengamal media rasmi kerajaan, media tempatan termasuk media dalam talian.

Jabatan Penerangan Malaysia dalam kenyataan terbaharu berkata, tempoh sah laku KPM pengamal media antarabangsa juga diberikan selama dua tahun berbanding setahun sekarang.

Manakala tempoh setahun untuk pengamal media yang mempunyai kontrak secara tahunan dengan organisasi media (contoh: kakitangan sambilan seperti stringer yang perlu perbaharui kontrak setiap tahun).

Pengamal media antarabangsa bukan warganegara Malaysia dan dalam lawatan jangka masa panjang juga diberikan tempoh sah laku KPM setahun.

Sementara itu, tempoh sah laku KPM enam bulan bagi pengamal media dalam talian yang baharu berdaftar dengan JaPen.

Menurutnya, tempoh ini untuk memastikan media dalam talian tersebut beroperasi secara aktif, sahih dan tidak menyebarkan maklumat palsu.

Selepas itu, tempoh kelulusan yang diberikan adalah sama seperti kategori-kategori di atas.

JaPen berkata, tempoh sah laku ini akan berkuatkuasa serta-merta (7 Mac 2024).

Pemegang KPM JaPen yang mempunyai tempoh sah laku masih aktif boleh membuat permohonan memperbaharui selepas tamat tempoh KPM masing-masing.

Semua permohonan pendaftaran agensi media baharu dan permohonan KPM yang lain adalah tertakluk kepada tempoh sah laku KPM yang baru ditetapkan seperti di atas.

Garis panduan yang telah ditetapkan melalui pautan Soalan Lazim di https://emedia.penerangan.gov.my/ masih berkuatkuasa dan tertakluk kepada semua pemegang KPM JaPen. – MalaysiaGazette

NUJM mahu tempoh sah laku kad media kekal dua tahun