Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mahu kerajaan mengekalkan tempoh sah laku dua tahun bagi Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) seperti sebelum ini.

Malah, NUJ berharap prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dilakukan oleh Kementerian Komunikasi diberi penjelasan.

Kata Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohd Yusuf, sepatutnya mana-mana agensi media yang diiktiraf oleh kerajaan melalui pemberian kad media Jabatan Penerangan sudah disaring sebelum sebarang kelulusan.

“Kad perakuan media yang dikeluarkan oleh kerajaan telah diiktiraf secara berkesan oleh pegawai kerajaan sebagai satu bentuk laluan untuk masuk ke acara rasmi.

“Walaupun NUJM telah diberi akses untuk sebahagian besar acara rasmi, tetapi ia tidak menjamin akses bagi individu lain yang membawa kad media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) yang sama.

“Kami berharap penyelarasan SOP ini akan memberi akses lebih baik tidak kira sama ada media tradisional atau yang baharu bagi membolehkan pengamal media menjalankan tugasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini sambil menambah, NUJM berpegang kepada etika kewartawanan yang telah wujud sejak pembentukannya pada 1962 berdasarkan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ).

Dalam pada itu, NUJM yang juga merupakan sebahagian daripada proses dan perbincangan untuk membentuk Majlis Media Negara mahu kerajaan mempercepatkan pembentukannya bagi memastikan industri media negara ini lebih bebas.

Semalam portal Malaysiakini melaporkan Jabatan Penerangan telah mengeluarkan kad media dengan tempoh sah yang lebih pendek untuk beberapa wartawan media dalam talian daripada pelbagai agensi berita.

Beberapa wartawan dalam talian menerima kad media yang sah dalam tempoh enam bulan, manakala yang lain, diberikan kad dengan tempoh sah selama setahun.

Ini jauh lebih pendek berbanding tempoh sah dua tahun standard untuk kad media yang dikeluarkan kepada media tempatan dan bercanggah dengan dasar yang dinyatakan di laman web Jabatan Penerangan.

Tempoh sah yang lebih pendek untuk kad media nampaknya melibatkan wartawan yang bekerja untuk portal dalam talian, yang memohon untuk memperbaharui atau membuat permohonan baharu untuk kad media mulai tahun ini.

JaPen dalam kenyataan memaklumkan, walaupun proses penyelarasan itu akan mengambil sedikit masa, pengamal media masih boleh memperbaharui kad perakuan media mereka yang telah tamat tempoh.

“Penyelarasan ini juga mengambil kira dokumen Kod Etika Wartawan Malaysia (KEWM) Malaysian Press Institute (MPI) yang telah dikemas kini baru-baru ini.

“Sebaik sahaja proses penyelarasan SOP kad perakuan media ini selesai, JaPen akan mengemas kini segala maklumat yang berkaitan dalam sistem eMedia JaPen yang boleh diakses melalui https://emedia.penerangan.gov.my/,” menurut kenyataan itu.

Hari ini Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta JaPen agar meneliti semula tempoh sah laku KPM JaPen bagi media antarabangsa dan media dalam talian.– MalaysiaGazette