Nota ugutan yang bertaburan di hadapan rumah ibu Menteri KPKT di Ayer Tawar, Manjung. Foto ihsan Ahli Majlis MPM, Teong Duong Woon.

MANJUNG – Ruang hadapan rumah ibu kepada Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dihujani nota berbaur ugutan di Ayer Tawar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu sekitar 10.15 pagi oleh ibu menteri tersebut yang berusia 76 tahun.

“Dalam kejadian sekitar 7.30 pagi itu, ketika ibu menteri berkenaan keluar rumah, dia mendapati banyak kertas bertaburan di hadapan rumah dengan tulisan ‘Nga Kor Ming jangan cabar islam’ dan percaya perkataan tersebut mempunyai niat yang tidak baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Mohamed Nordin berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Kes ini masih dalam siasatan dan punca kejadian belum diketahui. Usaha mengesan individu yang terlibat kini masih diteruskan.

“Justeru, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-331 7099 bagi membantu siasatan pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast