EUDR
Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra)melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) di 19 lembangan sungai di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu bagi memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan termasuklah tindakan mitigasi dan persediaan awal oleh pelbagai agensi lain.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, ia berkaitan melalui memakluman ramalan kemarau dua bulan lebih awal dan amaran kemarau 14 hari lebih awal.

“Sehingga kini, tujuh lembangan telah siap dan mula beroperasi manakala sembilan lembangan lain dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2027.

“Pemakluman aras dan storan empangan bagi pemantauan kemarau dan Jabatan Parit dan Saliran turut memantau 25 empangan lain bagi memastikan storan adalah pada tahap siap siaga sebagai sumber air domestik dan pertanian.

“Usaha untuk memanfaatkan air banjir atau lebihan air hujan hanya boleh dilaksanakan dengan menggunakan kaedah penyelesaian secara struktur seperti pembinaan empangan, struktur pembendung air (weir) atau kolam takungan seperti hybrid of river augmentation (HORAS) yang sedang dilaksanakan di Sungai Klang dan Sungai Melaka,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai mekanisme penyelarasan antara agensi yang dilaksanakan untuk menghadapi musim kemarau di mana banyak kawasan menghadapi masalah kekurangan air dan sejauh mana usaha memanfaatkan air banjir sebagai persiapan menghadapi kemarau terutama di negeri-negeri yang memerlukan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, selain itu, kementerian akan terus memperluas pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang merupakan satu sistem takungan yang dibina di tepian sungai untuk menerima lebihan air sungai khususnya ketika musim hujan.

Katanya, takungan air daripada TAPS akan dilepaskan ke aliran sungai atau terus ke LRA jika diperlukan ketika musim kering atau ketika berlakunya pencemaran di sungai bergantung kepada kapasiti dan sumber air yang ada.

“Pada masa yang sama, TAPS juga bertindak sebagai kawalan banjir ketika musim tengkujuh untuk menakung lebihan aliran air banjir,” katanya.

Beliau juga memberitahu, PETRA telah bekerjasama dengan agensi di peringkat persekutuan dan negeri bagi mencegah pencemaran sumber air terutama semasa musim kemarau.

Menurut beliau, ia untuk menjamin keselamatan sumber bekalan air mentah serta bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan kerajaan negeri bagi operasi pembenihan awan bertujuan untuk meningkatkan paras air di empangan dan pengairan pertanian.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara akan turut menyelaras bantuan antara operator air negeri semasa menghadapi krisis bekalan air akibat bencana alam atau faktor luar jangka dalam memberi bantuan teknikal dan misi bantuan yang berkaitan ke negeri-negeri jiran selaras dengan Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai bersama.

“Antara tanggungjawab operator air dalam menghadapi krisis bekalan air adalah merangkumi penyediaan tenaga kerja, jentera, lori tangki. khidmat nasihat dan kepakaran teknikal dan dalam masa yang sama pihak Rejimen 60 Askar Jurutera Diraja turut terlibat dalam membantu pihak operator air bagi negeri yang mengalami krisis bekalan air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast