KUALA LUMPUR – Kerajaan Mesir memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan daripada Malaysia untuk memasuki Gaza yang ketika ini masih diserang dan dijajah oleh Israel.
Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr berkata, hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi membolehkan barangan bantuan Malaysia memasuki Gaza melalui lintasan Rafah dengan selamat.
Menurutnya, setakat ini Malaysia telah menghantar tiga bantuan ke Gaza melalui Mesir iaitu pada 4 November tahun lalu melibatkan 20 tan bekalan makanan dan perubatan.
Kedua pada 11 November yang terdiri 20 tan bekalan makanan dan perubatan dan ketiga pada 19 Disember terdiri daripada 60 tan makanan, bahan perubatan, peralatan dan pakaian musim sejuk.
Katanya, Malaysia sedang menyediakan penghantaran bantuan baharu seberat kira-kira 100 tan yang dijadual tiba pada bulan ini.
“Perlu dinyatakan bahawa bantuan Malaysia diberi keutamaan untuk memasuki Gaza. Sehubungan itu kerjasama dan penyelarasan penuh sedang berlaku antara kedua-dua kerajaan bagi memastikan bahawa bantuan itu disampaikan tepat pada masanya kepada yang paling memerlukannya,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah beliau, selepas lawatan pertama ke Mesir dan bertemu al-Sisi pada 23 Oktober tahun lalu Anwar terus menunjukkan komitmen membantu rakyat Gaza dengan menefon al-Sisi pada 22 Februari lalu untuk membincangkan perkembangan terkini krisis semasa.
Katanya, tekad Malaysia untuk membantu penduduk Gaza juga dapat dilihat dengan lawatan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin baru-baru ini.
“Beliau dan delegasi telah diberikan akses khas ke Rafah Mesir. Saya perlu menjelaskan kepada anda dalam hal ini mengambil kira, bahawa tiada akses diberikan di kawasan Rafah ini melainkan ia dibenarkan oleh pihak berkuasa tertinggi di Mesir,” jelas Ragai Tawfik.
Sementara itu beliau berkata, Mesir berharap Malaysia dapat meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
Ini kerana beberapa negara menyekat sumbangan kepada UNRWA selepas Israel mendapat terdapat anggota Hamas bertugas dengan badan antarabangsa itu.
Katanya, Malaysia baru-baru ini menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA sebagai tambahan kepada AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.-MalaysiaGazette