KOTA BHARU – Lima lelaki ditahan kerana disyaki menyeludup 300 liter petrol ke pangkalan haram di Tumpat, di sini, semalam.

Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 60 tahun disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan penahanan itu dibuat dalam serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Tumpat menerusi operasi sama.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek membuat pengisian secara berulang kali di beberapa stesen minyak di kawasan  itu dengan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 sekali transaksi.

“Seterusnya, modus operandi mereka adalah dengan membawa petrol ke pangkalan haram untuk diselewengkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Susulan itu, KPDN merampas empat kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback dan Proton Wira Aeroback berpendaftaran tempatan disyaki membawa muatan minyak petrol di dalam tangki yang telah diubah suai. – MalaysiaGazette