Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertingggi (MKT) UMNO menggesa agar Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memberi justifikasi mengenai status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, pihak Peguam Negara perlu segera memberikan jawapan mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempersoalkan adakah benar rayuan pengampunan Najib turut melibatkan pertukaran tempat tahanan dari penjara ke tahanan rumah.

“Pertanyaan (Datuk Seri) Ismail Sabri di Parlimen mesti dijawab dengan telus oleh Peguam Negara.

“Apakah benar bila rayuan pengampunan dibuat ada lampiran Najib mohon dibenarkan tahanan dalam rumah? Apatah lagi kalau benar memang wujud nota perkenan supaya Najib dibenarkan tahanan dalam rumah. Mesti ada ketelusan,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Semalam, Ismail Sabri mahu kerajaan menjawab adakah benar rayuan pengampunan Najib turut melibatkan pertukaran tempat tahanan dari penjara ke tahanan rumah.

Dalam perbahasan Usul Menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Khamis, Ahli Parlimen Bera itu mahu tahu adakah perkara itu dibincangkan semasa pembentangan rayuan pengampunan Najib baru-baru ini.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh itu adalah enam tahun lebih awal daripada tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut kenyataan dikeluarkan urusetia lembaga berkenaan, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu. – MalaysiaGazette