Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang akhbar KDN di Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 08 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Seramai 5,983 pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak berdokumen mendaftarkan secara sukarela Program Repatriasi bagi tempoh 1 hingga 7 Mac.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,864 PATI sudah pulang ke negara asal yang dilakukan Jabatan Imigresen.

Menurutnya, seramai 3,115 PATI adalah warga Indonesia disusuli Bangladesh (846 orang) dan India (700 orang).

Tambah Saifuddin Nasution, kesemua mereka telah membayar kompaun menerusi kedutaan masing-masing membabitkan jumlah kutipan sebanyak RM2.9 juta.

“Menerusi program repatriasi ini, mereka yang tidak berdokumen langsung, tinggal lebih masa yang ditetapkan dan menyalahgunakan permit kerja diberi peluang untuk menyerah diri secara sukarela.

“Kesemua mereka hanya perlu membayar kompaun pada kadar RM500 dan RM300 mengikut jenis kesalahan yang dilakukan sebelum diproses dokumen untuk dihantar pulang tanpa pendakwaan di mahkamah dan hukuman penjara di negara ini,” nya.

Ditanya tentang berkeinginan PATI yang pulang ke negara asal ingin kembali ke Malaysia untuk bekerja, Saifuddin berkata, pihaknya akan mengkaji perkara itu mengikut kes.

“Mereka akan dinilai semula mengikut jenis kesalahan mereka sebelum mengambil keputusan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette