Syarul Ema Rena

KUALA LUMPUR – Penyedia kandungan sosial, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga telah memfailkan saman pemula ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Syarul Ema Rena berkata, dia mengambil tindakan itu kerana telah dinafikan hak untuk diwakili peguam ketika disoal siasat SPRM pada Februari lalu selepas didakwa menerima sejumlah hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah badan bukan kerajaan.

Dalam saman pemula bertarikh 26 Februari lalu yang difailkan menerusi Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi di sini, Syarul Ema Rena yang bertindak selaku plaintif turut menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam saman tersebut Syarul Ema Rena turut memohon perisytiharan bahawa beliau mempunyai hak di sisi undang-undang menurut Perkara 5 Perlembagaan (kebebasan diri) untuk diwakili oleh peguam apabila diperiksa secara lisan dan disoal siasat di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.

Beliau turut  memohon perisytiharan, bahawa penafian haknya untuk diwakili peguam menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara 5 dan Perkara 8 (kedudukan sama rata di sisi undang-undang).

Menurut Syarul Ema Rena, pada 16 Februari lalu dia dipanggil SPRM selepas pengeledahan di rumahnya dan kemudian dibawa ke ibu pejabat SPRM bersama-sama pegawai agensi itu untuk disoal siasat dan dirakam keterangan.

Syarul Ema Rena mendakwa sepanjang sesi soal siasat itu, beliau dinafikan hak oleh defendan untuk diwakili seorang peguam.

Pada 16 Februari lalu, Azam Baki menafikan dakwaan berita bahawa Syarul Ema Rena ditahan SPRM, sebaliknya menjelaskan bahawa wanita itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan oleh pihaknya.

Menurut SPRM, aktivis politik itu telah disiasat berhubung dakwaan menerima beberapa peratus hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah badan bukan kerajaan.-MalaysiaGazette