Foto Facebook Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan penampilannya berselendang ketika menghadiri sebuah majlis di Universiti Monash di Australia ketika menjadi sebahagian daripada anggota rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP itu berkata, sebelum majlis itu pada Isnin lalu itu, beliau telah menghadiri satu acara lain di Kolej Al-Taqwa iaitu sebuah sekolah Islam di Melbourne yang memerlukan wanita supaya menutup rambut mereka.

Memandangkan wakil dari Universiti Monash tiba lebih awal dan kerana tidak mahu lewat, Hannah tidak mempunyai masa untuk mendandan rambutnya sekaligus membuat keputusan untuk terus berselendang.

“Sebagai sebahagian daripada anggota rombongan Perdana Menteri, kami perlu hadir  lebih awal daripada Perdana Menteri sendiri.

“Mengikut jadual asal, saya mempunyai masa luang selama  15 minit sebelum mesyuarat dengan Universiti Monash bermula. Justeru, ini akan memberinya lima minit untuk mendandan rambut.

“Bagaimanapun, mesyuarat itu kemudiannya dipercepatkan 10 minit berikutan ketibaan awal wakil universiti berkenaan. Saya memilih untuk terus berselendang kerana tidak mahu lewat untuk pertemuan dengan Monash dan Perdana Menteri.

“Ketepatan waktu dan protokol amat penting bagi saya,” katanya di Facebook.

Hannah menambah, beliau berselendang sebagai menghormati rakan-rakan beragama Islam di tempat suci mereka.

“Keputusan mudah dan saya sedih kerana ini terpaksa dijelaskan di Facebook. Sebagai wanita, saya juga tidak mahu muncul dalam gambar media dengan rambut kelihatan kusut masai dan tidak terurus.

“Tolong hormati pilihan saya,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Hannah seterusnya berharap keputusannya berselendang semasa acara tertentu tidak lagi dijadikan isu.

Pada 2021, beliau pernah dikritik rakan dari partinya iaitu Dr Boo Cheng Hau kerana bertudung semasa lawatan ke masjid. – MalaysiaGazette