Zaliha menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima @Projek Baiti Jannati Wilayah Persekutuan di PPR Kerinchi di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemegang lesen perniagaan bazar Ramadan di sekitar Wilayah Persekutuan bakal berdepan tindakan pembatalan lesen masing-masing sekiranya didapati mengupah warga asing untuk menjalankan perniagaan mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa yang memberikan amaran tegas itu berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan lesen kepada penama dan sepatutnya individu itu yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan, bukannya pihak lain.

“Itu memang dasar berterusan yang kita laksanakan. Jadi, kita beri lesen itu kepada pemilik lesen dia kena meniagalah.

“Kalau misalnya dia beri lesen itu kepada orang lain dan tidak mematuhi kehendak-kehendak yang kita letakkan, memang kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Projek @Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Megat Jaluddin Megat Hassan.

Dr Zaliha berkata demikian selepas ditanya mengenai tindakan terhadap pemegang lesen perniagaan bazar Ramadan yang memberikan upah kepada warga asing atau bukan pemilik lesen untuk menjual di bazar Ramadan.

Mengulas lanjut Zaliha berkata, selain membatalkan, DBKL boleh sahaja menggantung lesen perniagaan bazar Ramadan kepada pemegang lesen yang bersikap sedemikian namun, ia bergantung kepada keadaan.

Umat Islam di seluruh negara dijangka menunaikan ibadah puasa pada Selasa ini.

Di Malaysia, bazar Ramadan sering menjadi tumpuan untuk orang ramai membeli juadah berbuka. – MalaysiaGazette