Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir hadir permukiman KARISMA.

KUALA LUMPUR – Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (Karisma) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diadakan julung kali telah melabuhkan tirainya hari ini.

KPT menerusi kenyataan berkata, sepanjang tiga hari diadakan pelbagai isu dilontarkan oleh pemimpin mahasiswa yang menyertainya merangkumi soal semasa pendidikan tinggi negara, kebajikan pelajar serta misi.

Ia termasuklah juga visi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

“Karisma adalah satu inisiatif daripada Menteri Pendidikan Tinggi sendiri yang diwujudkan bagi menyemarakkan lagi proses pembangunan kepimpinan muda di Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara melalui pelbagai pengisian termasuklah dari segi modul kepimpinan dan asas kenegaraan,” katanya.

Isu-isu tersebut dibangkitkan ketika sesi dialog berlangsung sebelum Zambry merasmikan majlis penutup hari ini.

Permukiman yang bermula Jumaat lalu di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) telah dihadiri oleh 95 pemimpin mahasiswa yang juga terdiri daripada pemimpin mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada 20 Universiti Awam (UA) dan tujuh buah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dari seluruh negara.

Ia dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), AKEPT dan KPT.

Menurut KPT, permukiman Karisma diteruskan dengan kumpulan pemimpin seterusnya mengikut zon dan IPT yang juga akan turut melibatkan para pemimpin pelajar dari kelompok Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Platform Karisma diharap dapat menjadi satu penghubung antara pemimpin mahasiswa dengan kepimpinan tinggi kementerian dan pemimpin tertinggi negara sekali gus diharap
penganjurannya dapat membina karakter dan kredibiliti pemimpin mahasiswa untuk masa kini dan masa hadapan demi kelangsungan IPT, KPT dan negara,” tambahnya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast