KUALA LUMPUR – Jumlah trafik di lebuh raya bertol dijangka meningkat semasa waktu pergi dan balik kerja pada bulan Ramadan pada Selasa, 12 Mac ini.
Bagi mendepani masalah kesesakan ini, semua syarikat konsesi lebuh raya diminta melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna selesa, selamat dan lancar untuk berbuka puasa.
Oleh itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menyarankan beberapa inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.
Antaranya menyelaraskan semula lokasi dan masa penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan waktu pulang dan balik kerja sama ada sektor awam dan swasta yang berubah pada bulan Ramadan.
Menjadualkan semula waktu pengaktifan laluan tidal atau smartlane selaras dengan perubahan waktu kerja.
Selain itu, memastikan semua kemudahan disediakan di kawasan rehat dan rawat/ hentian sebelah/plaza tol dalam keadaan baik termasuk semua aspek bekalan air dan tahap kebersihan.
Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya turut diminta mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan dan menyediakan kemudahan tambahan sementara bagi menangani peningkatan jumlah trafik.
LLM juga meminta syarikat konsesi meningkatkan kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia untuk membantu kelancaran pergerakan tragik teruyama di lampu isyarat selepas susur keluar lebuh raya.
Tempoh sela masa lampu isyarat diselaraskan semula berdasarkan waktu puncak bulan Ramadan.
Syarikat pengendali lebuh raya diminta memastikan tiada gangguan sistem kutipan tol dan petugas penyelenggaraan hendaklah dalam keadaan tunggu sedia.
Menempatkan petugas di plaza tol yang kritikal dengan menyediakan peralatan pidion atau obdia bagi melancarkan pergerakan trafik.
Penyediaan lorong tambahan sama ada secara lorong manual, berlapis atau reverseable lane dilaksanakan di plaza-plaza tol yang kritikal.
Petugas di plaza tol hendaklah bersedia membantu pengguna yang mengalami masalah baiki kad Touch ‘n Go yang tidak mencukupi, kata LLM.
Syarikat konsesi juga perlu menempatkan pasukan kecemasan di lokasi strategik bagi menangani sebarang insiden atau kejadian dengan segera bagi mengelakkan impak berpanjangan. – MalaysiaGazette