KUALA LUMPUR – “Harga daging ada kenaikan sehingga RM4 tapi orang ramai jangan bimbang bekalan mencukupi sehingga Hari Raya nanti,” kata salah seorang peniaga daging, Aziz Yahya, 63.
Dia yang telah menjalankan perniagaan itu lebih 30 tahun di Pasar Chow Kit berkata, kenaikan harga itu meningkat berikutan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8.0 peratus.
“Saya rasa kenaikan harga ini juga mungkin faktor nilai mata wang kita yang menurun. Contoh harga daging import dari RM13, kini jadi RM18 sekilogram (naik RM5).
“Kalau daging potong sini (tempatan) sekarang RM45 hingga RM60 untuk daging batang pinang dalam atau tenderloin. Daging peha biasa pun kini jual RM45.
“SST ini memang semua tidak kira pembeli atau peniaga memang terkesan, tapi saya rasa mungkin tidak akan naik lagi sampai raya nanti dan bekalan pun memang cukup. Jangan risau,” katanya.
Beliau meminta kerajaan memantau kenaikan barangan basah kerana kebanyakan daging diimport dari luar negara, ditambah pula dengan penyusutan ringgit.
Lain pula bagi peniaga daging di pasar yang sama, Sulaiman Mahadin, 63, yang berkata, buat masa ini harga yang ditawarkannya seperti biasa iaitu RM42 bagi daging batang pinang luar.
Ujarnya, walaupun ada kenaikan sedikit sekitar RM0.30 namun, ia tidak memberi kesan pada perniagaannya dan harga yang dijual juga masih kekal seperti sedia kala.
“Daging harga macam biasa tiada kenaikan, bekalan pun cukup sampai raya ini, tidak kira sejuk beku dan segar. Bagi saya buat masa ini tiada apa-apa kesan pada saya.
“Pada pembeli, saya nasihatkan beli macam biasa. Tidak perlu beli banyak untuk buat simpanan stok sebab harga masih macam biasa,” ujarnya.
MalaysiaGazette juga turut meninjau beberapa barangan basah yang lain seperti ayam yang masih dijual sekitar RM9.50 sekilogram manakala ikan pula, tiada kenaikan ketara harga buat masa ini.
Peniaga ayam, Nasrul Awang, 60, akui terdapat sedikit kenaikkan RM0.80 daripada pihak pembekal namun dia masih menjual bahan mentah itu pada harga RM9.50 dan berharap ia kekal sehingga raya nanti.
“Buat masa ini boleh bertahan lagi. Kalau sekali naik, kita terpaksa naikkan (harga ayam). Bulan puasa ini tidak pasti akan naik ke atau macam mana sebab yang pegang (kawal harga ) atas bagi saya (pembekal).
“Kita cuma jual sahaja. Tengok pada harga ayam nanti, kalau tidak naik harga dan kekal macam ini insya-Allah memudahkan semua pihak. Harga sekarang ini pun kira dah separuh-separuh antara peniaga dan pembeli,” katanya.
Sementara itu, peniaga ikan yang ditemui, Richi Andriawan, 35, berkata, harga kawalan ikan masih sama seperti biasa dan tiada kenaikan daripada pihak pembekal walaupun telah memasuki bulan Ramadan.
“Harga ikan seperti biasa dan tiada perubahan. Ikan selar RM12 sekilo, ikan kembung (RM13 sekilo) dan ikan besar macam ini RM14 sekilo. Bekalan memang cukup sampai raya nanti,” jelasnya. – MalaysiaGazette