Gambar hiasan
PETALING JAYA – Bekalan ayam adalah mencukupi untuk menampung permintaan semasa Ramadan dan juga perayaan Aidilfitri.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee berkata, bekalan yang mencukupi juga bermakna harga ayam yang stabil.

Katanya, permintaan ayam pada masa ini adalah sekitar dua juta ekor sehari, iaitu lebih kurang sama dengan keadaan semasa Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, harga runcit ayam pula berlegar sekitar RM8 hingga RM9 sekilogram.

“Oleh itu, orang Malaysia boleh membeli ayam yang berkualiti dengan harga murah,” katanya kepada Sinchew Daily.

Ujarnya, berbanding Ramadan pada tahun-tahun sebelumnya, satu fenomena yang istimewa telah berlaku iaitu permintaan ayam adalah lebih tawar tahun ini.

“Walaupun puncanya masih perlu dikenal pasti, tetapi nampaknya momentum pemulihan ekonomi belum cukup bertenaga lagi,” katanya.

Chee Hee berkata, penternak yang dibelenggu beberapa masalah, termasuk kos makanan ternakan yang naik dan kejatuhan nilai ringgit, tidak berani menambahkan pengeluaran secara sewenang-wenangnya.

Katanya, kejatuhan nilai ringgit daripada RM4 berbanding satu dolar Amerika kepada RM4.40 dan seterusnya RM4.70 telah menyebabkan kos penternakan ayam melonjak sebanyak 20 peratus. – MalaysiaGazette