Empat kru asing termasuk tekong Myanmar diberkas dalam bot nelayan tempatan yang menangkap ikan tanpa kebenaran semalam.

KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen atau kebenaran sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan itu ditahan pihak berkuasa itu dalam Op Ehsan dan Op Tiris 3.0 ketika sedang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di 17.5 batu nautika barat laut Pulau Ketam.

“Hasil pemeriksaan di atas bot itu mendapati, bot dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Myanmar.

“Semakan lanjut mendapati kesemua suspek termasuk tekong Myanmar yang berusia dalam lingkungan umur di antara 26 hingga 39 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Empat kru asing not tempatan yang ditahan maritim selangor di perairan pulau ketam, semalam.Ihsan Maritim Selangor

Tambah beliau, kesemua warga asing dan bot yang ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing di atas bot menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia termasuk kesalahan mengajikan kru warga asing tanpa permit sah di bawah Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette