Ihsan Foto: Facebook Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Pakaian bukan simbol keagamaan tetapi lambang kesopanan dan hormat terhadap sesuatu majlis yang menjadi cerminan keperibadian rakyat Malaysia

Menurut kenyataan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), tindakan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh perlu dipuji apabila mengenakan selendang semasa mengikuti delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melbourne, Australia pada Isnin lalu.

Tambahnya, beliau memakai selendang untuk menghormati rakan-rakan muslimnya kerana delegasinya terlebih dahulu melawat sebuah sekolah Islam, Kolej Al-Taqwa sebelum bergerak ke Universiti Monash untuk mesyuarat seterusnya.

“Sikap ini perlu dicontohi kerana ia adalah satu bentuk toleransi tanpa membelakangkan fahaman dan kepercayaan agama masing-masing,” katanya.

YADIM mengajak masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama agar berfikiran lebih terbuka dan menjauhi prasangka dalam memberi komen terhadap insiden ini.

Dalam konteks ini, katanya, YADIM menyokong agar pakaian yang bercirikan kesopanan dapat diangkat menjadi kod etika berpakaian sebagaimana kerajaan sebelum ini membenarkan penggunaan kemeja lelaki tanpa tali leher sebagai pakaian rasmi.

YADIM juga menggesa pemakaian sopan di khalayak ramai menjadi amalan bersama dan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast