JOHOR BAHRU – “Aku takkan maafkan kau. Aku tengah mengandung kau sentuh-sentuh aku,” demikian luahan seorang juruwang wanita yang didakwa ditumbuk seorang pelanggan wanita hingga lebam di muka.
Insiden itu dikongsi mangsa dalam Facebook miliknya atas nama Zuriani Mahmood, 25, yang berlaku pada jam 3.17 petang semasa pelanggan wanita terbabit mahu menjelaskan bayaran di kaunter.
Videonya yang tular dalam media sosial memaparkan seorang juruwang wanita sedang mengandung telah ditumbuk seorang pelanggan wanita dalam kejadian di sebuah pasar raya di Southkey dua hari lalu.
Berdasarkan maklumat dikongsikan mangsa, kejadian berlaku semasa membuat pembayaran dan pelanggan mahu memulangkan satu barang yang dibelinya namun dia meminta pelanggan terbabit menunggu kerana pembelian itu sudah dimasukan ke dalam sistem.
Bagaimanapun kata Zuriani, pelanggan wanita tersebut dengan tiba-tiba memarahinya.
Pelanggan juga dilihat telah menumbuk mukanya sehingga mengakibatkan bengkak.
Menurut mangsa dalam perkongsiannya, tumbukan itu menyebabkan bahagian bawah mata sebelah kiri bengkak sebelum membuat laporan di Balai Polis Majidee di sini pada hari yang sama.
“Report dah dibuat , tunggu tindakkan dari polis je. Maruah aku tercalar ya sebagai seorang ‘cashier’ bila ‘cust’ (pelanggan) buat macam ini depan ramai orang. Sedangkan itu salah sendiri.
“Kalau setakat gaduh mulut, boleh terima lagi. Tapi kau siapa untuk naik tangan dekat muka aku!!! Aku sertakan gambar dan ‘cctv cust’.
Aku tak tahu apa salah aku sedangkan aku dah terangkan, tapi kau tetiba melenting.
“Aku memang takkan maafkan orang macam ini ya! Aku tengah mengandung, kau sentuh-sentuh aku. Aku takkan tarik report ya, aku sumpah kau.
“Kes ‘viral’ dan ‘share’! Supaya orang lain boleh berhati-hati dengan ‘cust’ spesies macam ni, ‘be alert’! Sesiapa kenal boleh la ‘tag’ dia kat ‘post’ ni,” kongsi Noraini dalam facebooknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi berkata, laporan kejadian itu sedang disemak.- MalaysiaGazette