Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh membidas kenyataan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy bahawa punca sebenar polarisasi kaum adalah disebabkan institusi politik, bukannya sekolah vernakular.

Tegas beliau, kenyataan Akmal itu bercanggah dengan pendirian DAP yang ingin membentuk bangsa Malaysia berbilang kaum demi perpaduan namun akhirnya ingin mengasingkan sistem pendidikan.

“Kata parti kamu berbilang kaum, mahu membentuk bangsa malaysia, tetapi bab pendidikan nak diasingkan?

“Orang politik seperti kamu inilah yang menjadi punca perpaduan antara kaum selama ini tidak dapat disuburkan. Kamu mabuk ke apa??,” soalnya.

Sebelum ini Akmal yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menggesa supaya kerajaan membuat penilaian menyeluruh terhadap sistem pendidikan vernakular.

Katanya, sistem pendidikan negara perlu diterapkan dengan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun Ramasamy tampil menyanggah Akmal dengan berkata, masalah perpaduan di negara ini bukan disebabkan sekolah vernakular sebaliknya institusi kepartian yang membawa agenda kaum.

Hari ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mempertahankan sistem pendidikan itu selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.-MalaysiaGazette