Pengerusi peniaga Bazaria, Mohd Ramdzan Ziman menunjukkan surat permohonan penguatkuasaan lebih tegas oleh DBKL kepada peniaga tanpa lesen pada sidang media mengenai peniaga berlesen Bazaria Wangsa Maju yang dianaktirikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Tapak Bazaria Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa tidak mengambil tindakan tegas dan hanya ‘menutup mata’ terhadap kehadiran peniaga haram yang ramai di sekitar Bazaria Wangsa Maju, di sini, bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Persatuan Peniaga Berlesen Bazaria Wangsa Maju meluahkan rasa kecewa dengan pihak berkuasa itu kerana suara mereka tidak diendahkan walaupun sudah berulang-kali membuat laporan dan aduan sejak 2019.

Pengerusinya, Mohd Ramdzan Ziman berkata, setiap kali bulan Ramadan, lebih 500 peniaga di bazar terbabit terjejas pendapatan berikutan kewujudan peniaga tanpa lesen di kawasan itu.

“Surat aduan kami sudah hantar kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, pihak DBKL termasuk Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahid Hassan namun masih tiada sebarang tindakan daripada pihak terbabit.

“Kita sedia maklumkan, menjelang tibanya Hari Raya, kawasan ini akan menjadi tumpuan pengunjung dari seluruh negara datang ke sini yang dahulunya dikenali sebagai Uptown Danau Kota untuk membeli belah.

“Disebabkan ia jadi tumpuan, maka banyak peniaga haram ini akan berniaga di luar (atas pejalan kaki) bazaria ini. Sedangkan kami bayar tapak setiap bulan pada DBKL antara RM200 hingga RM217.

“Kalau tidak bayar bulan kedua, DBKL hantar notis. Kami kecewalah macam ini sebab peniaga tak berlesen (peniaga rembo) tiada sebarang tindakan daripada DBKL,” jelasnya dalam sidang media yang diadakan di Bazaria Wangsa Maju, hari ini.

Pengerusi peniaga Bazaria, Mohd Ramdzan Ziman bercakap pada sidang media mengenai peniaga berlesen Bazaria Wangsa Maju yang dianaktirikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Tapak Bazaria Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 MAC 2024.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap tahun terdapat ulat-ulat tapak yang akan menyewakan lot perniagaan mereka pada orang luar yang tiada lesen tambahan dari Jabatan Pelesenan dan Pembagunan Perniagaan DBKL.

Katanya, kehadiran peniaga rembo itu juga telah mengganggu ekosistem kawasan perniagaan di situ yang mana kawasan pakir pengunjung dijadikan tapak perniagaan mereka.

Situasi itu menyebabkan pengunjung terpaksa parkir kenderaan di kawasan perumahan penduduk hinggakan mengganggu laluan selain membuatkan pengunjung berbelah bahagi untuk membeli belah di situ.

“Kami juga terima banyak aduan daripada persatuan penduduk sekitar, mengatakan pengunjung ini parkir depan rumah sampaikan mereka tidak boleh keluar. Puncanya kekurangan parkir sebabkan peniaga haram.

“Pada siang hari kawasan kedai sekitar hadapan itu akan jadi bazar Ramadan tapi bila malam ia jadi bazar malam yang memang tiada lesen dan disewakan oleh ulat-ulat tapak ini.

“Bila jadi macam tu, kami yang kena jawab dan penduduk di sini salahkan peniaga bazaria. Sedang cukup tempat letak kenderaan di sekitar bazaria ini. Ini yang jadi masalah pada kami,” ujarnya.

Pengerusi peniaga Bazaria, Mohd Ramdzan Ziman (kanan) bersama timbalannya, Md Abtar Abd Halim (kiri) menunjukkan tapak perniaga tanpa lesen pada sidang media mengenai peniaga berlesen Bazaria Wangsa Maju yang dianaktirikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Tapak Bazaria Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 MAC 2024.

Mohd Ramdzan mendakwa terdapat tangan ghaib antara peniaga rembo dengan DBKL kerana sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak penguatkuasa terbabit.

Jelasnya, sekiranya mereka sendiri menegur peniaga rembo yang berada di sekitar kawasan itu, ugutan dan pergaduhan tercetus sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan peniaga berlesen.

Sehubungan itu, beliau berharap DBKL atau pihak yang bertanggungjawab dapat mendengar dan mengambil tindakan segera terhadap kehadiran peniaga haram di kawasan Bazaria Wangsa Maju.

“Pihak berkenaan diminta segera ambil tindakan, sebab sudah banyak kali kali buat aduan sejak 2019, pada akhirnya tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

“Kita minta DBKL sediakan bilik kawalan penguatkuasa di sini sepanjang bulan Ramadan, adakan lori DBKL, pemantauan pihak penguatkusa, sekiranya berlaku peniaga tidak berrlesen, terus ambil tindakan.

“Buat sama seperti di Jalan Masjid India, pihak DBKL sediakan beratus penguatkuasa kat sana tapi di sini tiada langsung. Lepas tangan dan tutup mata sahaja,” luahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahniah DBKL…kerana telah berjaya melingkupkan peniaga berlesen. Amalan suci ini amat bertepatan dgn kedatangan bulan RAMADHAN .Ketidak pekaan tindakan boleh menghalalkan gaji penguatkuasa. Ingat makan gaji haram tiada bezanya dgn makan DAGING BABI.

Comments are closed.